Selamat Datang ke Blog Dell!

Bersama Dell di Alam Maya
Sertai Saya
Sedetik Al-Ikhlas.

Pada 4 Februari 2012 lepas, Dell berkesempatan menonton drama Al-Ikhlas di TV3 sempena istimewa Maulidur Rasul. Dell tertunggu-tunggu untuk menonton drama ini setelah melihat iklannya beberapa jam sebelum bersiaran.

Pada Dell, drama ini merupakan salah satu drama berbentuk Islamik yang terbaik pernah disiarkan. Banyak pengajaran dapat diperolehi dalam setiap babak yang dipaparkan. Antaranya, sifat redha, sabar, pemaaf dan yang paling penting ialah sifat IKHLAS yang sangat bertepatan dengan tajuk dramanya iaitu AL-IKHLAS (yang merupakan salah satu surah yang terkandung dalam al-Quran). Drama ini dilakonkan oleh Lisdawati, Nasir Bilal Khan, Fauziah Nawi, Shoffi Jikan, Wan Suhaimi. 

Drama ini menceritakan tentang Solah, seorang yang sangat lurus, baik hati, redha dan penyabar. Sifat Solah ini menyebabkan orang kampung sering mengambil kesempatan terhadapnya. Namun, bagi Solah dia hanya menjalankan tugas dengan ikhlas dan tidak pernah sekali pun mengeluh.

Solah pernah berkahwin namun sejak isterinya meninggal, dia tinggal berseorangan ditemani kucing-kucing kesayangannya. Babak ketika Solah berkongsi makanannya dengan kucing-kucing disekitarnya sangat menyentuh hati Dell. Keadaannya yang seolah-olah tidak terurus menyebabkan orang kampung mengatakan dia tidak betul.

Pada waktu malam secara senyap-senyap, dia selalu berkunjung di surau lama di kampungnya untuk beribadat. Surau tersebut terletak di atas tanah yang telah diwakafkan oleh ayah Zaki, namun, apabila ayahnya meninggal dunia, Zaki ingin menjual tanah tersebut.

Ramai yang tidak jadi membeli tanah tersebut kerana adanya surau di situ. Zaki seringkali mendesak Pak Ali, ketua kampung supaya merobohkan surau tersebut supaya dia boleh menjual tanah namun Pak Ali enggan kerana surau tersebut telah diamanahkan oleh bapa Zaki kepadanya.

Zaki juga pernah cuba untuk membakar surau tersebut tetapi menghentikan hasratnya apabila mendapati Solah sedang beribadat di dalamnya.

Zaki selalu memfitnah Solah dan menghinanya secara terang-terangan. Tetapi Solah tetap bersabar, tidak mempersoalkannya, tidak membela dirinya dan tidak menghiraukan apa yang dikatakan oleh Zaki malah memaafkannya kerana Solah yakin dengan hikmah yang tersembunyi atas apa yang berlaku.

Dia berserah segala-galanya kepada Allah. Bertepatan dengan maksud yang terkandung di dalam surah Al-Ikhlas yang berbunyi, 'Dia Allah yang Maha Esa. Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu. Dia tidak beranak dan tidak pula diperanakkan. Dan tidak ada seorang pun yang setara dengan Dia.'

Kerana ketulusan hati Solah yang dapat menghayati dan mendalami makna sebenar surah AL-IKHLAS dan amalan yang berterusan itu memberi satu kelebihan kepada dirinya sehingga seorang pemuda yang sudah tersesat jauh dari landasan agama Islam (orang luar dari kampungnya) sering bermimpi berjumpa dengan Solah yang dapat membantunya untuk mendalami agama Islam.

Perkara pertama yang diajar oleh Solah kepada pemuda tersebut ialah IKHLAS (pembersihan hati) dan seterusnya bagaimana hendak bermunajat kepada Allah. Ramai yang tidak percaya pemuda tersebut belajar agama dengan Solah kerana Solah selalu kelihatan selekeh dan sentiasa berbau busuk di khayalak ramai. Mana mungkin, dia mempunyai pakaian yang sesuai untuk mengadap Ilahi. Solah turut difitnah kononnya mengajar ilmu ajaran sesat.

Pak Ali yang risau dengan khabar angin berkenaan pergi menemui Solah dan bertanyakan hal yang sebenar apa yang berlaku. Pak Ali terkedu dan menangis mengenangkan yang Solah mempraktikkan dan mengamalkan apa yang telah diajarkan guru agama mereka selama ini iaitu arwah ayah Zaki. Solah dapat mencari kunci ilmu yang terkandung di dalam surah AL-IKHLAS. Suatu ilmu yang Pak Ali sendiri sudah lama tidak mempraktikkannya.

Suatu hari, Pak Ali terkejut ketika menemui jenazah Solah yang terbujur kaku dalam pakaian jubah yang sangat bersih dan cantik di atas sejadah sambil memegang tasbih. Ini menunjukkan Solah berpakaian sangat cantik setiap kali mengadap Ilahi.

Malahan, luka dan nanah yang membusuk di tapak kakinya (kerana Solah terpijak kayu yang tajam beberapa minggu sebelum itu), hilang. Subhanallah. Manakala, Zaki yang selalu memfitnah dan menghina Solah selama ini menerima hukuman yang setimpal dek kerana keceluparan mulutnya.

Bagi Dell, drama ini sangat memberi kesan dalam hati Dell. Dell berharap sangat TV3 dapat menayangkan semula drama ini kerana pengajaran yang terkandung di dalamnya sangat berguna.

Sama-samalah kita menghayati drama ini sekiranya dapat menontonnya sekali lagi.... :)

Kebelakangan ini, setiap kali Dell membuka tv untuk mendengar ceramah agama atau motivasi... isi kandungannya akan berkait dengan kematian. Itu belum lagi, Dell mendapat berita beberapa kematian dalam masa terdekat ini. Benar, kita tidak akan tahu bila tarikh kematian kita. 

Kata-kata Ustaz Dato' Abu Hasan Din Al-Hafiz kadang-kala terngiang-ngiang di telinga Dell. Ada cerita-cerita kematian yang disebutkan oleh beliau membuatkan Dell tersenyum membayangkan alangkah indahnya jika Dell meninggal dengan cara sebegitu.

~Sesungguhnya aku tidak layak masuk ke syurga-Mu namun aku tidak sanggup masuk ke api Neraka-Mu~

*Teringat nasihat yang diberikan oleh orang-orang disekeliling Dell sejak dua menjak nie*

Situasi A
Makcik Munah : Dilla nak bawa kereta nanti, bawa slow-slow tau. Biar lambat asal selamat. Sebelum pandu kereta tu ingat mula-mula Mengucap dahulu... takut-takut seandainya kita meninggal secara mengejut di dalam perjalanan, kita meninggal dalam keadaan Islam. Selepas itu, baca Al-Fatihah dan selawat banyak-banyak. Ingat tau!

Dell : Baik, cik... Insya-Allah...

Situasi B
Ustaz : Awak banyak-banyak amalkan selawat dan istighfar... mudah-mudahan dosa kita terampun dan Allah bukakan segala pintu rezeki untuk awak. Apa yang terjadi, awak kena sabar dan redha. Makam redha itu paling tinggi daripada makam sabar. Seandainya, awak meninggal ketika dalam keadaan teraniaya, sesungguhnya dosa-dosa awak akan ditanggung oleh orang yang menganiaya awak tu. Sesungguhnya, Allah Maha Adil ke atas hamba-hamba-Nya. Maka, berserahlah kepada-Nya.

Dell: Insya-Allah, ustaz...

Situasi C
Pakcik A : Pakcik harap awak dapat amalkan dengan istiqamah selawat nabi nie dengan tertib dan berterusan. Dunia sudah akhir zaman, bukan semua insan dapat mengamalkan selawat dan istighfar dengan istiqamah dan berterusan. Mudah-mudahan dengan amalan ini hijab awak akan terbuka... Insya-Allah, awak akan lebih mudah memahami sesuatu ilmu terutama ilmu Allah. Ini sahaja ilmu yang pakcik dapat turunkan. 

Dell: Insya-Allah, pakcik...

Kadang-kadang, Dell perasan yang kita selalu terlupa untuk amalkan sesuatu yang mudah secara istiqamah dan berterusan sedangkan ganjaran yang dijanjikan oleh Tuhan amat besar jika kita melakukannya. Selawat dan istighfar merupakan zikir yang paling mudah untuk dilakukan. Namun, kita selalu terleka dan mulut kita terlalu asyik dengan hiburan semata-mata. Kita boleh menyanyi setiap hari tetapi untuk berselawat dan beristighfar?

Dell pun bukan sesempurna insan, tetapi sedang berusaha memperbaiki kekurangan diri. Mudah-mudahan, Allah beri Dell petunjuk dan menetapkan keimanan Dell. Amin... :)



Gambar-gambar ini baru dimuat turun oleh salah seorang trainer Smarts Coach. Ingat lagi tak Kem Motivasi Super Smarts yang Dell cerita sebelum ini? Terubat rasa rindu akan suasana di kem tersebut. 

Dell jaga bahagian pendaftaran
Beratur untuk ke dorm masing-masing
Masing-masing sudah ada kumpulan 

Sukanya dia.... :)
Dengar ya tips-tips daripada Kak Dell.. hehehe...
Cepat dik cepat!
Senam jangan tak senam... :)
Walaupun kepenatan dan kepanasan, posing jangan dilupakan!  Ahaks!
Fasilitator yang terlebih-lebih nie... hehehe... 
Ilmu keagamaan tidak dilupakan. Khusyuk bebenar nampaknya budak-budak nie... :)


::Tiada hadiah yang paling besar untuk seorang guru melainkan melihat anak-anak muridnya berjaya::

Keluarga C
Hari ini merupakan hari terakhir Dell mengajar Fatin. Rumah Fatin merupakan tempat yang paling jauh Dell pergi iaitu di Bandar Seri Mahkota. Perjalanan ke rumahnya memakan masa lebih setengah jam kerana Dell terpaksa menempuh kesesakan lalu lintas sebelum Dell keluar dari mana-mana tol. 

Diam tak diam, Dell sudah mengajarnya selama 4 bulan. Memang tidak dinafikan, Fatin terasa bosan belajar berseorangan dengan Dell dan dia mahukan kawan-kawannya turut serta. Baru-baru ini, dia turut kompelin tentang pusat tuisyen yang dihadirinya dengan kawan-kawan.

Ibunya memberitahu Dell, Fatin nak belajar tuisyen dengan kawan-kawannya bersama guru sekolahnya yang bermula pada bulan depan. Ikutkan ibunya tidak mahu memberi kebenaran tetapi memandangkan cikgu sekolahnya hanya mengambil 4 orang pelajar tuisyen, ibunya membenarkan. 

Apa-apa pun, Dell sudah berjaya menaikkan prestasi bahasa Melayu si Fatin sebelum tuisyen berakhir. Markah peperiksaannya mendapat 70 % baru-baru ini. Ikutkan memang ibunya meminta Dell membantu Fatin dalam subjek Bahasa Melayu kerana prestasinya terlalu lemah untuk subjek itu dan selalu mendapat markah bawah 50 %. Sekurang-kurangnya, kini Fatin sudah boleh menulis ayat dalam bahasa Melayu serta memahami petikan yang dibaca berbanding sebelum ini. 

P/S : Patutlah Fatin beria-ria mahukan nombor telefon Dell tadi dan mahu Dell add dia di facebook. Alahai, anak murid... Agak-agaknya selepas ini, siapa pula yang akan menjadi anak murid Dell? ;)



Dell masih ingat lagi ada satu kenangan yang tidak dapat dilupakan berlaku beberapa tahun dahulu iaitu pada tanggal 5 Jun 2009 (hari Jumaat). Pagi itu, Dell dalam perjalanan ke pejabat. Kebetulan, trafik tidak sesak dan perjalanan Dell sangat tenang tanpa gangguan apa-apa. Dell pula tidak memandu kereta dengan laju, secara santai sahaja. Maklumlah, masa masih awal lagi kerana Dell keluar rumah agak awal pagi itu iaitu lebih kurang 5 minit sebelum pukul 7.00 pagi.

Suasana hari tersebut tak terang, tak gelap malah tidak panas. Cuacanya nyaman sekali. Tidak dapat digambarkan suasananya ketika itu, terasa sangat tenang. Setelah 15 minit memandu, Dell terperasan bahawa langit waktu itu sangat cantik berwarna biru, terbentang sangat luas. Seolah-olah, Dell tidak pernah melihat kecantikannya selama ini. Tiba-tiba Dell terfikir, "Eh, mana awan?"

Ada sesuatu suara di dalam hati meminta Dell memandang ke langit sebelah kiri. Nyaris-nyaris Dell kemalangan kerana terlalu terkejut. Dell ternampak kalimah 'Allah' dan 'Muhammad' terbentuk oleh awan dalam tulisan jawi. Dell berterusan istighfar kerana terlalu terkejut, takut pun ya juga. Sampaikan Dell berdoa, "Ya Allah, sekiranya benar apa yang kulihat ini... Kau tunjukkanlah ia sehingga aku benar-benar yakin dengan apa yang kulihat."

Dell pandang semula awan tersebut, ianya benar terlukis kalimah-kalimah tersebut. Dell memandu kereta dengan keadaan menggeletar. Sehinggalah Dell sampai ke pejabat, Dell tidak boleh berkata-kata kerana terlalu terkejut. Hampir dua jam, Dell tidak boleh bercakap. Takutnya Dell hanya Allah sahaja yang tahu.

Waktu itu Dell hanya ingat satu sahaja, "Adakah usiaku sudah sampai?"

Apa yang terjadi benar-benar memberi kesan dalam kehidupan Dell. Kita tidak tahu apa yang akan jadi pada kehidupan kita seterusnya tetapi kita perlulah berusaha melakukan kebaikan berterusan. Itu sahaja amal jariah yang kita ada.

Selasa, 18 Jun 2013 - Dell telah menghadiri Bengkel Train The Trainer (TTT) di Fazilah Kamsah Akademi (FKA) mewakili Smarts Coach atas pelawaan Sir Noordin Khalid. Cikgu Abu Barzah juga turut terlibat di dalam bengkel ini.

Bengkel ini dikendalikan oleh Master Trainer Tn. Hj. Tajodin Hj. Sanusi di bawah anjuran FKA. Seramai 12 orang peserta menyertai bengkel ini. Kelainan bengkel ini ialah pembelajaran kami berbentuk permainan iaitu 'Board Game'. Bukan main saja-saja tau! Ini permainan berbentuk 'Management Games'.

Bukan calang-calang peserta yang hadir ini. Semuanya konsultan berpengalaman kecuali Dell. Huhu.

Permainan pertama diberi nama Puteri Gunung Ledang. Dan pemenangnya adalah Kumpulan 1 iaitu Merong Mahawangsa. Dell mencadangkan nama ini kerana pada Dell ianya sesuai dengan kekuatan burung klasik ini dalam sejarah Melayu. 

Kami berjaya mengumpul 11 harta karun di dalam permainan ini dan pengurangan penggunaan duit belanja turut memainkan faktor kemenangan kami. Yehaaa!

Manakala dalam permainan kedua iaitu Menakluk Benua, Dell telah berjaya memenangi permainan ini! Permainan ini berbentuk individu. Seramai 4 orang peserta bertarung di dalam satu kumpulan.

"Beranilah korang nak bom aku, aku ada bom nuklear!" kata Dell. Geram tengok mereka seboleh-boleh nak serang benua yang Dell takluk. Ketiga-tiga berkomplot pula tu. Hish, geram betul Dell! Apa-apa pun, Dell gembira sebab berjaya kalahkan mereka. Hahaha!

Kami semua terhibur dengan bengkel ini. Macam-macam kerenah mereka ni. Tak percaya? Tengok gambar di bawah.
Amboi, konsultan seorang ini! Mentang-mentanglah bermain ala-ala zaman Melayu Klasik. 
En. Muhammad Syakir, anak DMFK. Merasa berlawan dengan dia ini dalam permainan kedua. Kehkehkeh..

Tu diaaa.... Hulubalang-hulubalang dalam permainan Puteri Gunung Ledang.

Ehem... Ehem... Dell pun nak merasa juga bergambar 
dengan Penggawa Puteri Gunung Ledang ni! 
Selepas tamat bengkel, kami bersantai-santai dan bertukar-tukar pendapat serta idea sesama konsultan.

Apa-apa pun ini antara Bengkel Pengurusan yang terbaik Dell pernah sertai. Kesannya mendalam dan ilmu yang hendak disampaikan mudah difahami. Tambahan, Dell memang suka main apa-apa bentuk permainan. 

Penganjur ada mengatakan bahawa akan ada bengkel susulan selepas ini untuk kami semua dan akan diadakan kumpulan alumni untuk kami. Ini memudahkan kami bertukar-tukar informasi nanti. Tak sabar rasanya untuk menyertai bengkel seperti ini lagi. Woha!


Hari Sabtu lepas, Dell menghadiri Bengkel Asas Penulisan Rencana oleh Tuan Zamri Mohamad di FINE Academy, Wangsa Maju, KL. Dell tidak sangka mendapat peluang untuk bertemu dengan penulis 'Best Seller' ini. Ikutkan Dell memang tidak tahu tentang bengkel ini tetapi salah seorang sahabat Dell (seorang blogger juga) telah mengajak Dell ke bengkel ini.

Terlalu banyak tips dan ilmu baru tentang dunia penulisan, Dell pelajari di sini. Penampilan Tuan Zamri yang sederhana serta menjadi seorang 'trainer' bukan sebagai 'penceramah', banyak membantu kami yang masih baru di dalam dunia penulisan ini. 

Bilangan peserta yang menghadiri bengkel ini tidak sampai 20 orang. Dan mereka semuanya bukan calang-calang orang. Ada doktor perubatan, CEO syarikat, pensyarah universiti, jurutera Petronas dan lain-lain jawatan berstatus tinggi. Terasa diri ini sangat kerdil berbanding mereka. 

Memang tidak dinafikan, Dell ada bercita-cita untuk menulis artikel di majalah dan buku sama ada berbentuk ilmiah mahupun kreatif. Tetapi Dell kekurangan skil yang diperlukan. 

Dell bersyukur kerana Tuan Zamri meletakkan kami di dalam alumni dan akan berterusan berhubung untuk menerbitkan penulisan kami. Artikel yang kami tulis ketika di dalam bengkel akan disemak oleh beliau satu persatu dan beliau akan memberi komen yang membina.

Semoga ini merupakan tapak untuk kami berkarya di landasan yang betul dan berterusan. Amin... 


Tak lama lagi, blog Dell ini akan berwajah baru yang lebih tersusun dan sesuai dengan profesional Dell pada masa akan datang. Tak sabar rasanya. Harap-harap minggu ini siap. :)
Keluarga B

Semalam Dell berkesempatan berjumpa dengan ibu kepada anak-anak murid di Putrajaya. Dell tak sangka keputusan peperiksaan Sya sangat baik. Mana taknya, dialah yang Dell sangat bimbang kerana sikapnya yang acuh tak acuh ketika belajar. Lagipun, dia akan mengambil peperiksaan UPSR tahun ini. Ibunya memberitahu Sya mendapat 2A untuk subjek BM dan 78 markah untuk Matematik dan Sains. Dell terasa sangat gembira mendengarnya kerana sebelum ini, markahnya sangat rendah antara 40 hingga bawah 60.

Ibunya ada beritahu yang si Sya ikut saranan Dell supaya merakam dan merekod bacaan untuk subjek-subjek tertentu dan mendengarnya agar mudah dihafal. Tak sangka Dell, Sya buat seperti Dell suruh. Ibunya sangat-sangat berterima kasih kepada Dell atas peningkatan kemajuan anak-anaknya. Dell cuma menyatakan syukur alhamdulillah, Dell cuba yang terbaik berdasarkan pengalaman Dell sendiri kerana Dell sendiri pernah gagal dulu. Jadi, Dell perbaiki di mana kelemahan mereka dan memahaminya. Selebihnya Dell akan bercerita kepada mereka bagaimana hendak maju melalui pengalaman Dell sendiri atau pun orang lain. Iyalah, kita perlu mencetuskan motivasi mereka.

Dell ada bercerita dengan ibunya tentang kem motivasi yang Dell jadi fasilitator sebelum ini. Kot-kot jika dia berminat untuk menghantar anaknya ke situ. Nampaknya memang ibunya berminat. Nanti Dell akan beri jadual seminar atau kem Smarts Coach kepada mereka nanti.

Dell berharap sangat Sya boleh dapat 5A dalam UPSR nanti. Amin.
Tak dinafikan Dell terasa rindu dengan dunia fasilitator ketika di Kem Motivasi Super Smarts di Laman Bestari, Ulu Yam pada 3 - 5 Jun 2013 lepas. Mujur kami semua masih berhubungan melalui facebook walaupun masing-masing duduk jauh antara satu sama lain.


Pada 8 Jun 2013 lepas, Sir Noordin Khalid mengajak semua fasilitator berkumpul di Pizza Hut, Ampang Park, KL. Seperti biasa, huru-hara dibuatnya jika kami semua berkumpul. Gamat dengan gelak ketawa dan gurau-gurau mesra gitu. Ilmu pun dapat. Hehehe.... Tapi sayang, tak semua fasilitator dapat datang.




Dell menunggu juga projek Smarts Coach yang seterusnya. Dell tahu jika fasilitator berkumpul semula mesti akan ada trick yang baru, kami akan terkena. Bak kata sir, nak uji EQ dan IQ kami. 



Tiada jalan mudah untuk berjaya. Ianya perlu usaha dan kerja keras. Tetapi bukan kerja keras dengan membabi buta, nanti kerugian. Kita perlulah 'smart'. Bermaksud kita perlu ada ilmu untuk berjaya. Tanpa ilmu, apa yang dilakukan akan ada masalah kemudian hari atau pun mungkin terpaksa melakukannya berulang kali. 


Sebenarnya bukan mudah untuk Dell keluar dari tradisi yang biasa. Terlalu banyak ilmu yang Dell perlu dalami. Dell bersifat terbuka dengan segala ilmu baru yang datang. Kerana bagi Dell, ilmu itu milik Allah. Allah berkehendak kepada siapa ilmu itu dapat diperturunkan. Dell berdoa siang dan malam agar Allah permudahkan untuk segala-galanya. 

Ada yang mendorong, ada yang memandang secara sinis. Itu perkara biasa apabila kita berbuat sesuatu yang baru dalam bidang kita. Bukan semua orang boleh terima dengan pembaharuan yang kita hendak lakukan. Jadi kita perlulah 'BERANI GAGAL'.

Apa yang Dell lakukan ini semuanya bermula dengan angan-angan dan imaginasi. Tetapi tanpa ilmu, Dell turut tidak boleh melaksanakannya. Lagi satu, Dell tidak dapat melakukannya seorang diri. Ilmu dan bantuan dari Allah kepada Dell adalah melalui orang-orang disekeliling Dell sama ada secara langsung atau tidak langsung. Sama ada dari segi ilmu, tenaga, kewangan dan lain-lain yang mungkin kita sendiri tidak sangka memang memerlukannya waktu itu. Disebabkan itulah, kita tidak boleh mengambil kesempatan kepada sesiapa sahaja dan perlu ikhlas dalam persahabatan dan perhubungan. 

Apa yang Dell alami, Dell tidak dapat bergantung sepenuhnya kepada 'supervisor' Dell. Dell perlu juga bergantung kepada 'co-supervisor' Dell untuk ilmu yang lain pula. Mereka ini penting dalam perjalanan penyelidikan Dell. Masing-masing mempunyai pengalaman dan kepakaran yang berbeza-beza. Tak tergambar bagaimana Dell amat berterima kasih kepada mereka ini. Tanpa 'guideline' daripada mereka, berkemungkinan tunggang-langgang penyelidikan Dell. 

Dell memang mengharapkan doa dan restu daripada mereka. Mereka ini adalah 'sifu' dan 'guru'. Walaupun hubungan kami rapat, Dell perlu menghormati mereka. Daripada doa dan restu mereka inilah, Allah akan permudahkan perjalanan pengajian kita walaupun kelihatan ianya sukar pada peringkat awal. 

Untuk me'reka' cipta sesuatu perisian memang memerlukan peruntukan kewangan yang banyak. Walapun kita ada ilmu tanpa adanya kewangan, angan-angan tersebut akan berada di atas kertas sahaja. Oleh sebab itu, kita perlu merancang dengan lebih awal dan fikir bagaimana hendak mendapatkan sesebuah tajaan. Bukan mudah untuk mendapatkan tajaan untuk sesuatu yang tidak nampak dengan mata kasar. Di sinilah peranan kita, untuk menyakinkan pihak-pihak tertentu mengenai  jangkaan hasilnya. Dalam masa yang sama, kita kena bersedia yang kita akan ditolak mentah-mentah oleh beberapa pihak tertentu.

Sekiranya sumber kewangan dan ilmu sudah dapat, perjalanannya masih jauh dan banyak lagi dugaan yang tidak disangka-sangka akan berlaku. Pegang kata azimat ini iaitu jangan putus asa, usaha, doa dan tawakal.



NOTA :
Yang paling penting jangan lupa pada yang Satu. Minta restu keluarga dan guru-guru. Berbuat baik kepada sahabat handai dan taulan. Doakanlah kejayaan Dell ya! Amin.






Keluarga C 

Hari ini, Dell memang ternanti-nanti keputusan peperiksaan si Fatin terutamanya bagi subjek yang Dell ajar. Mana taknya, bukan senang hendak mengajar si Fatin ini. Lebih pandai berbahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu, lagi satu bukan senang nak buatkan dia minat dengan bahasa Melayu. Itu belum karenahnya yang benar-benar menguji kesabaran Dell. Alhamdulillah, dia dah berubah selepas dua bulan Dell bersabar. Huhu.

Hari ini, dia membebel tentang pusat tuisyen yang dia hadiri di luar. Dia kata sebab cikgu di sana tak ajar semua jadi markah dia dalam subjek tertentu rendah. Eh, boleh pula begitu?

Apa sahaja yang berlaku memang dia akan cerita kepada Dell walaupun kadangkala Dell kurang faham juga apa yang diceritakan. Tapi Dell layankan sahaja. Dia tunjuk beberapa markah peperiksaan yang dia baru dapat tadi. Dia sendiri tak berpuas hati dengan markahnya sendiri dan dia mengadu kelasnya suka sangat buat bising. Tak tau nak masuk kelas mana lagi katanya.

Hari ini, Dell menemaninya makan malam. Sedap lauk hari ini. Selepas makan nasi, dia mengambil satu bekas natalie coco dan berkata, "Ayah, Fatin nak makan kotak ini!" (Sebab bentuk natalie coco berbentuk segiempat dan dia tak tahu nak sebut nama makanan tu).

Terberhenti Dell ketika menyuap nasi ke mulut dan pandang ke arahnya. Kotak? Nak tegur, tak elok pula sebab depan ibu bapanya. Setelah ayahnya membuka bekas tersebut dan letakkan sedikit ke dalam mangkuk, Fatin datang dekat dengan Dell untuk mempelawa makan 'kotak' tu. Eh?

Dell memberitahu bahawa nama makanan tu adalah natalie coco bukan kotak. Dia tersengih dan diam sahaja. Selepas tu, dia kata, "Teacher, benda ni keras!"

Dell betulkan, "Bukan keras tapi liat."

"Ooo... liat", katanya.

Gelagat mereka ini yang menghiburkan hati Dell. Macam-macam.




Keluarga B
Sudah dua minggu Dell tidak berjumpa dengan anak-anak murid keluarga ini. Maklumlah cuti sekolah, minggu pertama mereka balik kampung. Manakala minggu kedua pula saudara-mara mereka pula datang ke rumah. Kedatangan Dell kali ini ingin membuat pembaharuan untuk pembelajaran si Sya. Risau Dell melihat dia tak tumpu dalam pelajarannya. 

Sabtu hari itu, Dell minta Sya baca satu unit untuk subjek Sains selama satu jam dan selepas itu Dell akan bersoal-jawab secara lisan. Dell perasan, kalau suruh buat latihan bertulis empat jam pun belum tentu dia siap dan buat. Dia memang tak boleh fokus. 

Dell masih belum berkesempatan untuk membeli buku latihan BM dan Sains untuk kakak sulungnya, Ain. Jadi, Ain buat karangan BM. Manakala Farhan dan Fir diminta buat latihan Matematik.

Sedang Dell menanda latihan-latihan yang terdahulu, tiba-tiba si Sya dan Fir berbisik-bisik. Mereka pandang Dell tersengih-sengih. 

"Kenapa awak berdua tersengih-sengih?" Soalku memandang Sya dan Fir.

"Sebenarnya, mereka tu nak bagi cikgu hadiah Hari Guru", kata Ain.

"Oooo..." Kataku sambil tersenyum.

Mereka pun menyerahkan dua bungkus batang pen dakwat basah kepada Dell. Terkejut juga Dell dapat hadiah tiba-tiba. Mana taknya, Hari Guru dah lama berlalu. Adalah kejadian selepas buka bungkusan tu yang menyebabkan kami semua ketawa. Mana taknya, tanda harga tak dibuka sebab mereka lupa. 

Sedang kami ketawa, tiba-tiba ada bunyi ketukan pintu dari luar. Rupa-rupanya ada jiran memberi keledek goreng. Kiranya hari tersebut, Dell langkah kanan. :)




Insya-Allah dalam masa sebulan ini, Dell akan menerima sebuah manuskrip buku motivasi untuk diedit. Sebenarnya, Dell tidak sangka diberi kepercayaan untuk menjadi editor untuk buku beliau ini. Dell akan buat yang terbaik. Pengeditan kali ini akan lebih mudah kerana Dell mengenali penulisnya dan Dell tahu gaya pemikirannya bagaimana, jadi senang untuk Dell mengolah ayatnya. 

Dapat juga Dell meningkatkan KPI Dell. Setelah buku ini diterbitkan nanti, ianya akan menjadi buku kedua genre motivasi yang Dell menjadi editornya. Semoga semuanya dipermudahkan oleh-Nya. Amin.



Bersama Sir Noordin Khalid (bukan Ally Iskandar ya... hihi...)
Beliau merupakan pengasas Smarts Coach. Dell berasa sangat gembira diberi peluang untuk menjadi Fasilitator Kem Motivasi Minda Super Smarts bersama gabungan Pengamal Spiritual Neuro Linguistik Programming (NLP) dan "Rahsia Cemerlang Diri Pelajar Corot kepada Pakar" lebih daripada 20 bidang dunia. Kem diadakan di Nur Laman Bestari Ulu Yam Selangor pada 3 - 5 Jun 2013 (3 hari 2 malam). 

Dato' Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah juga turut hadir dalam kem tersebut. Seramai 113 orang peserta yang terlibat dalam kem ini.

Team Smarts Coach

Banyak pengalaman dan ilmu Dell belajar di sini terutamanya ilmu metafizik. Sampai sekarang Dell teringat akan telatah-telatah fasilitator yang terlibat, kelakar habis! Tak pernahlah Dell berasa sangat gembira berada di dalam kem walaupun letih tapi tiada tekanan langsung. Dell sedang menunggu gambar-gambar di kem dimuat turun nanti. :)


NOTA :
Ketika berada di sekolah menengah dulu, Dell pernah berangan-angan hendak terlibat dengan aktiviti-aktiviti berbentuk motivasi tetapi bukan sebagai peserta. Waktu tu, Dell sangat meminati motivator Dato' Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah. Dell tak sangka dapat peluang itu la ni. Dell gembira kerana mendapat feedback yang positif daripada Sir Noordin yang beliau masih memerlukan khidmat Dell untuk aktiviti-aktiviti akan datang. 
"Never give up on what you really want to do. The person with big dreams is more powerful than one with all the facts" - Albert Einstein

Benar apa yang dikatakan oleh Albert Einstein tu. Tanpa angan-angan atau impian, apa yang kita imaginasi itu tidak akan wujud. Tetapi, sebagai orang Islam jika impian, angan-angan atau cita-cita itu di jalan kebaikan walaupun agak lambat nampak hasilnya... percayalah jalan menuju ke situ akan dipermudahkan oleh-Nya dengan tidak kita sangka-sangka. Yang penting, kita kena rajin berusaha, berdoa dan tawakal. 

Dell akan menceritakan sedikit sebanyak perjalanan Dell sehingga kini.

Dengan berbekalkan kepercayaan seorang cikgu lelaki berbangsa Cina yang merupakan cikgu penyelaras untuk aliran Sains Tulen (beliau guru untuk subjek biologi), pada tahun 1998 Dell diserap masuk ke aliran ini walaupun keputusan PMR Dell bukan hebat seperti pelajar-pelajar sekarang ini. Disebabkan masalah-masalah tertentu yang dihadapi waktu itu, keputusan SPM Dell tidak baik iaitu hanya lulus sahaja. 

Waktu itu, puas juga la Dell diperli dan disindir. Permohonan Dell untuk memasuki universiti, kolej komuniti dan politeknik tidak berjaya. Sungguh pun begitu, Dell percaya Dell tetap boleh berjaya suatu hari nanti. Dalam diam, Dell sudah membuat satu peta minda apa yang perlu Dell buat jika gagal masuk ke satu-satu tempat (Dell masih ingat lagi lukisan peta minda itu).

Atas kepercayaan seorang ustazah di sekolah menengah, beliau telah membantu Dell untuk membuat rayuan masuk ke Tingkatan Enam. Alhamdulillah, Dell diterima. Dell masih ingat lagi reaksi guru yang melihat keputusan SPM Dell ketika Dell melapor diri. Beliau seperti tidak yakin dengan Dell. Maklumlah, Dell diminta masuk sekolah cemerlang iaitu Sekolah Tinggi Kluang dan mereka sangat mementingkan prestasi sekolah. Dell cuma kata, "Insya-Allah, saya akan cuba yang terbaik untuk STPM ni". Dell tahu ini peluang terakhir untuk Dell membuktikan Dell boleh berjaya walaupun Dell terpaksa tukar aliran.

Ketika Dell sudah melapor diri, ada cabaran lain yang Dell hadapi. Ramai yang memperlekehkan keputusan Dell masuk ke Tingkatan Enam. Alhamdulillah... pada tahun 2001, Dell mendapat 4 prinsiple dalam STPM (salah satu subjek, Dell mendapat A). Satu kebetulan, keputusan STPM waktu itu dikatakan mencatat sejarah di Malaysia kerana ramai yang mendapat 4 prinsiple. Ini bermakna, syarat memasuki universiti semakin tinggi.

Pada tanggal 18 Mei 2002, Dell berjaya menjejakkan kaki di UPM sebagai seorang mahasiswa Bacelor Sastera (Pengkhususan Bahasa dan Linguistik Melayu), minor komunikasi. Waktu itu, masih juga orang memperlekehkan aliran yang Dell ambil dengan mengatakan susah untuk mencari pekerjaan. Dell buat tidak tahu sahaja APA YANG MEREKA KATA. Dell teruskan pengajian dan akhirnya bergraduat pada 31 Julai 2005 dengan Kepujian Kelas Kedua Tinggi.


Konvokesyen 2005

Tidak dinafikan, selepas bergraduat agak sukar untuk mencari pekerjaan. Malah Dell pernah ditipu duit dengan skim pekerjaan. Keluarga suruh balik dan duduk di kampung. Dell berdegil dan terus duduk di Serdang kerana yakin Dell akan dapat pekerjaan walaupun lambat. Keluarga Dell terpaksa akur dengan keputusan Dell. Akhirnya pada 6 Oktober 2005, Dell diterima bekerja sebagai Pembantu Penyelidik (RA) di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UPM di atas kepercayaan Prof. Dr. Lekhraj Rampal untuk geran penyelidikan beliau. Jika ada yang masih ingat tentang Kempen TAK NAK MEROKOK  tu. Dalam masa yang sama, Dell buat kerja sambilan mengajar tuisyen dan tutor di institusi berdekatan di situ.

Kontrak Dell tamat pada 15 Jun 2006. Waktu itu, Dell berbekalkan duit kerja sambilan sahaja yang Dell dapat berjimat-cermat sementara mencari kerja lain. Boleh hidup tapi tak boleh bermewah.  Alhamdulillah pada 2 Oktober 2006, Dell diterima bekerja sebagai Pembantu Tadbir di Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC), UPM. Di dalam temuduga sebelum itu, Pengarah RMC bertanya kepada Dell, "Bagaimana awak boleh menjadi RA di Fakulti Perubatan sedangkan awak pelajar bahasa?" Dell jawab, "Saya yakin saya boleh buat kerja yang ditawarkan." Dell masih meneruskan kerja sambilan selepas waktu pejabat. Bos Dell tahu tapi dengan syarat tidak memberi kesan terhadap kerja hakiki. 

Setelah setahun bekerja di RMC, Dell membuat keputusan untuk sambung Master dalam bidang yang sama. Bos Dell tahu akan impian Dell. Beliau memberi galakan dan dorongan kepada Dell. Jadilah Dell, pekerja sambil belajar pada tahun 2007.

Pada tahun 2008, Dell ditawarkan jawatan Penolong Pegawai Tadbir di Seksyen Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM. Soalan yang sama ditanya oleh bos di tempat baru, "Bagaimana awak boleh kerja di RMC sedangkan kamu bidang bahasa?" Dell menjawab, "Saya yakin saya boleh buat kerja yang ditawarkan". Niat ikhlas untuk sambung belajar, Allah permudahkan dari segi kewangan Dell. Jadi, Dell berhenti buat kerja sambilan dan hanya tumpukan kerja hakiki serta pengajian sahaja.

Pada 9 Oktober 2010, Dell berjaya menamatkan pengajian dan mendapat Master Bahasa Melayu.

Bersama Duli Yg. Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj.

Setahun kemudian bertarikh 28 Jun 2011, Dell mendapat Anugerah Perkhidmatan Cemerlang untuk tahun 2010. Kira berbaloi kerana Dell pernah dimasukkan di dalam wad sehari kerana jatuh sakit disebabkan stress kerja. Semangat je kuat, rupa-rupanya badan tak tahan. Maklumlah, waktu itu Audit RU dan Audit KPT sedang berjalan untuk menentukan status Universiti Penyelidikan. 

Bersama Dato' Ir. Dr. Radin Omar Radin Sohadi, Naib Canselor UPM waktu itu. Dapat RM1000 tu... :) Siapa kata orang bahasa tidak boleh berjaya dalam pengurusan?
Dell meneruskan kerja seperti biasa tetapi dalam diam-diam, Dell menulis proposal untuk sambung pengajian PhD dan memohon juga geran penyelidikan bersama bakal supervisor Dell waktu itu. Saja Dell tidak mahu kecoh-kecoh. Salah satu impian Dell untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi termakbul. 

Pada 31 Ogos 2012, Dell membuat keputusan berhenti kerja setelah mendapat Biasiswa Penuh KPT untuk pengajian PhD Dell. Dell juga menerima geran penyelidikan dari UPM bersama supervisor untuk penyelidikan kami. Kami sedang membina perisian interaktif bahasa visual 3D. Ramai yang terkejut dengan keputusan Dell tu kerana mereka tahu pun setelah Dell serahkan surat letak jawatan. Kini, Dell mengajar home tuition secara sambilan untuk pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah yang sangat lemah pelajarannya serta menjadi editor BM dan penulis sambilan.

Perjalanan hidup tidak mudah sebenarnya. Banyak suka duka yang dihadapi, Dell tidak nyatakan secara terperinci di sini. Insiden nyawa hampir melayang pun ada. Tapi itu semua lumrah hidup jika diduga zahir dan batin. Kena redha, usaha, doa berterusan dan tawakal. Impian Dell sangat besar, bukan hanya duduk ditakuk lama. Disebabkan itulah, Dell berusaha keras untuk berjaya dan menggunakan peluang yang hanya sekali datang untuk setiap perkara. 


SAYA BIJAK, SAYA BOLEH! 


NOTA :
Diharap coretan ini dapat menjawab soalan-soalan yang sering ditujukan kepada Dell selama ini, terutamanya ketika di Kem Motivasi Super Smarts tempoh hari. Impian Dell bukan hanya ingin menggenggam PhD tau. Ingat, hampir kesemua pemenang nobel pernah diperli malah dianggap gila oleh masyarakat di tempat itu.







Hari Jumaat lepas, Dell berpeluang mengikuti Bengkel Tulis Tesis Cepat dan Mendeley di Bilik Termasa, Perpustakaan Sultan Abdul Samad (PSAS), UPM. Bengkel bermula pada pukul 8.30 pagi sehingga 4.00 petang.


Bengkel dikendalikan oleh Dr. Othman Talib atau nama glamournya Dr. OT. Dell mengenali beliau melalui laman blog beliau iaitu www.drotspss.blogspot.com. Dell sangat tertarik dengan pelbagai teknik dan idea efisyen dalam penulisan tesis yang beliau perkenalkan iaitu RFOT (Research Template of Thesis), OFOT (One File One Thesis), ZDOT (Zero Draft of Thesis), KOT (Keep on Track) dan SROT (Speed Reading on Target). Memang Dell rasa sangat berbaloi menghadiri bengkel yang singkat ini!
Bersama Dr. OT. Sporting Dr. nie. Ketika bengkel lagi, kami semua jadi teruja nak menyiapkan tesis masing-masing dengan cepat. Kami menjadi ghairah dan tak sabar nak mencari bahan-bahan untuk menulis tesis!

Antara peserta bengkel yang membeli buku-buku beliau. Kami terpaksa mengikutnya ke fakulti kerana buku yang di bawa di perpustakaan tidak cukup untuk kami.

Tu dia buku yang Dell beli. Berharga RM85 sebuah. Dell lebih berminat beli buku dari e-book walaupun harganya lebih mahal.

Insya-Allah, Dell akan mengikuti bengkel beliau yang lain pula untuk mempelajari teknik yang lain.


NOTA :
Dell rasa sangat bertuah dilorongkan ke bengkel ini kerana secara kebetulan Dr. OT mempunyai minat yang mendalam dalam penyelidikan Pendidikan Kimia dan Animasi sehingga telah memenangi beberapa pingat di pertandingan PRPI, ITEX dan MTE. Beberapa artikel yang beliau persembahkan sebagai contoh di dalam bengkel rupa-rupanya ada berkait dengan penyelidikan PhD Dell. Dapat Dell beberapa buah artikel secara percuma malah mana tahu suatu hari nanti Dell akan berjumpa dengan beliau sendiri untuk mendapatkan maklumat yang dikehendaki berkaitan dengan tesis Dell. Terima kasih kepada sahabat Dell yang mempelawa Dell mengikuti bengkel ini.


Hari Khamis merupakan hari yang melegakan bagi Dell. Mana taknya, akhirnya Dell dapat peluang berjumpa dengan supervisor Dell. Lega sangat-sangat setelah Dell berkongsi cerita pengalaman Dell ketika bentang seminar tesis pada 18hb Mei yang lepas memandangkan supervisor tidak dapat hadir di saat-saat akhir kerana ada hal kecemasan. Mana taknya, hampir seminggu semangat Dell jatuh dek kerana risaukan komen daripada penilai pada waktu itu.

Secara kebetulan, salah seorang pelajar PhD seliaan supervisor Dell juga berada di dalam pejabat beliau. Jadi, kami berkongsi cerita suka duka perjalanan kami menempuh alam PhD ini. Supervisor juga berkata dugaan menjadi pelajar PhD memang hebat. 

Selepas itu, supervisor belanja kami makan di The Garden, Mines. Rezeki Dell pada hari tersebut kerana asalnya Dell hanya hendak memberi supervisor dokumen-dokumen untuk claim geran penyelidikan kami beserta laporan kemajuan geran penyelidikan.

NOTA :
Ada dua perkara yang buatkan Dell berasa lega sangat-sangat pada hari tersebut. Pertama, dapat berkongsi kisah yang berlaku di dalam seminar perbentangan tesis dan yang kedua pula, Dell dapat menyerahkan kesemua dokumen yang diperlukan untuk claim dan laporan kemajuan penyelidikan geran kami memandangkan Dell sudah mula sibuk dengan bengkel, kem motivasi dan perbincangan bersama ahli jawatankuasa tesis Dell tentang teori penyelidikan bermula pada hari Jumaat minggu ini sehingga hari Khamis minggu hadapan.