Selamat Datang ke Blog Dell!

Bersama Dell di Alam Maya
Sertai Saya

Menterjemah bahasa Inggeris ke bahasa Melayu.
Sebenarnya Dell bukanlah seorang yang gemar membaca buku dalam bahasa Inggeris. Hampir kesemua buku dalam simpanan Dell adalah berbahasa Melayu (ada yang telah diterjemahkan). Melainkan sesuatu ilmu itu, memang tiada dalam bahasa Melayu. 

Tetapi, Dell tidak menyangka yang suatu hari nanti Dell terpaksa menterjemah karya bahasa Inggeris ke dalam bahasa Melayu. Itulah yang Dell sedang lakukan sekarang ini. Mujur, klien itu minta terjemahkan ke dalam bahasa Melayu yang santai supaya pembaca buku itu nanti mudah faham, tidak bosan dan selesa membaca fakta-fakta yang hendak disampaikan.

Mungkin kerana Dell minat dalam bidang penulisan, Dell tidak terasa kerja menterjemah ini membebankan. Pengalaman membaca karya pelbagai jenis genre dan bidang memudahkan pemilihan perkataan dan ayat yang sesuai. Malah, Dell tidak sabar menyiapkannya.

Semoga Allah permudahkan kerja-kerja penulisan buku ini. Amin.

Koleksi Novel-novel Ramlee Awang Murshid.

9 Sept - Ketika berada di rumah saudara di Ulu Kinta Perak, Dell sangat teruja melihat koleksi buku-buku yang ada di situ. Satu keluarga saudara Dell ni memang minat membaca.

Mata Dell terpaku di koleksi Sunan ini. Punyalah 'excited' nak pinjam. Koleksi kitab-kitab tak nak pula nak tengok. Ish ish (sambil geleng kepala).

Dell terjatuh hati dengan watak Sunan ini sejak membaca Novel Bagaikan Puteri. Sepupu dah susun siap-siap hirarki kisah bersiri ini untuk Dell. Tak sabar nak baca!

Buat masa ini, Dell baru baca Hijab Sang Pencinta. Curi-curi baca ketika makan di mana-mana. Itu sahaja masa yang ada.



Karnival Usahawan Desa.

3 Sept - Petang tadi Dell sempat pergi ke Karnival Usahawan Desa (KUD) di Putrajaya. Dell ke sana untuk meraikan kejayaan sepupu Dell iaitu Puji Canopy memenangi geran sebanyak RM300K untuk usahawan dalam pertandingan yang dianjurkan. Tahniah diucapkan! 

Bersama-sama sepupu, Farzanah.
Sepupu Dell, Farzanah sempat memiliki Antologi Beautifool daripada Dell di sana. Terima kasih kerana menyokong penulisan Kak Dell.

*Sempat Dell melihat secara live Opick buat rehearsal petang tadi.


Mengimbau kenangan selepas buku Antologi Beautifool berjaya diterbitkan. Ia seribu satu kisah sebagai penghibur diri bagi seorang penulis. 

Antologi Beautifool di tangan Pn. Atie, Legacy Publisher.
27 Ogos - Terima kasih kepada Pn. Atie Zam yang sudi mendapatkan buku Antologi Beautifool daripada Dell. 

Dari status Tuan Zamri Mohamad.

Di tempat yang sama, Tuan Zamri Mohamad juga memilikinya cuma Dell tidak sempat mengambil gambar buku itu bersama beliau.

Sesi autograf.

Waktu petangnya, Dell berkesempatan singgah di salah sebuah hotel backpacker berdekatan KL Sentral untuk menemui bakal pembaca Beautifool. Siapa agaknya ya?

Bersama-sama Pn. Rohaniah Noor, Perunding Hartanah.

Seronok Dell semalam apabila Cik Puan Rohaniah Noor hendak memiliki Beautifool. Beliau merupakan Perunding Hartanah. Buku beliau akan terbit tidak lama lagi. Teringin juga nak ber-backpacker dengan beliau suatu hari nanti. Insya-Allah. Amin... 

Bersama-sama Pn. Rabaayah, Pensyarah IPG.
28 Ogos - Ini salah seorang teman pengajian Dell dari Batu Pahat. Banyak menyokong cita-cita Dell dalam bidang penulisan dan pengajian. Terima kasih sangat-sangat kerana sudi memiliki Beautifool ni.

Bersama-sama Ustazah Asma, guru mengaji al-Quran.
1 Sept - Tengah malam tadi dapat mesej, "Berapa ya harga buku Beautifool?" Terus Dell tersengih-sengih. Dalam hati, 'Tak sangka ustazah berminat untuk memiliki Beautifool ni.'


Terima kasih banyak-banyak kerana menyokong penulisan Dell. Ini ustazah yang ajar Dell mengaji al-Quran. Selepas mengaji tadi, kami berbual sekejap tentang penulisan. Rupa-rupanya, ustazah ada niat untuk menulis modul mengaji berdasarkan pengalamannya mengajar selama ini. 

Mesej daripada saudara, seorang peguam.

3 Sept - Terkejut apabila saudara Dell ini berminat untuk memiliki Beautifool. Teruja rasanya apabila seorang peguam ingin membaca Beautifool. Alhamdulillah. Terima kasih kerana menyokong penulisan Dell.

Bersama-sama penulis, Cik Puan Normi Ahmad Syafie dan Cik Puan Rahmah Mokhtar.
4 Sept - Malam-malam begini, sempat lagi dua orang penulis iaitu cikpuan Rahmah Mokhtar (penulis Aku Terima Cintanya) dan cikpuan Normi Binti Ahmad Shafie (bukunya akan terbit tak lama lagi) memiliki Beautifool. Sekali sekala para penulis berkumpul secara santai-santai begini, seronok juga! Keesokkan harinya, kami semua akan berada di Seminar 3P.

Beautifool di Seminar 3P.

5 Sept - Buku Beautifool di Seminar 3P (Promo, Pemasaran dan Penjualan). Mehlah datang belek-belek. 

Komen salah seorang pembaca Beautifool.
10 Sept - Terharu Dell apabila ada pembaca Beautifool komen sebegini. Beliau terasa inspirasi. Dell pula terasa bersemangat. Alhamdulillah... 

Kawan karib Dell, Camelia.
17 Sept - Gembira Dell pada cuti Hari Malaysia kali ini. Pertamanya, adik angkat sudi bantu Dell mengalihkan perabot untuk kemas rumah. Kedua, sahabat akrab Dell sejak sekolah rendah datang ke rumah Dell malam tadi bersama-sama suami serta kucingnya si Toby. Menjadi satu sejarah dalam hidup Dell apabila keempat-empat adik beradik sahabat Dell ini ingin memiliki Beautifool. Mula-mula Kak Angah mesej, kemudian Kak Uda mesej. Tiba-tiba sahabat Dell ni telefon nak juga buku Beautifool untuk dirinya dan Kak Long. Alhamdulillah.

Saudara Dell, Kak Ani.
24 Sept - Semalam buku Beautifool sudah bertemu pembaca di Kluang. Alhamdulillah... Insya-Allah Dell akan bertemu dengan mereka yang ingin memiliki Beautifool bermula hari ini sehingga esok di Kluang. "Beautifool, mu tunggu aku datang!" 

Sahabat lama di Kluang, Pn. Ismalia.
25 Sept - Baru pulang dari berjumpa sahabat lama di Kluang Mall. Sahabat ketika sekolah menengah dulu. Selepas SPM, masing-masing membawa haluan sendiri. Melalui facebook, kami berhubung semula. Akhirnya, hari ini kami berpeluang untuk bertemu. Alhamdulillah, sahabat Dell ini berjaya memiliki keempat-empat buku ini melalui Dell. Esok Dell akan berjumpa dengan siapa pula ya? "Beautifool, mu tunggu aku datang!"

Bersama-sama sahabat lama di Kluang, Pn. Norbaizura.
26 Sept - Alhamdulillah... Petang tadi, Dell sempat bertemu dengan salah seorang sahabat lama ketika di sekolah menengah. Beliau membeli keempat-empat buku ini melalui Dell. Terima kasih diucapkan. 

Bersama-sama Sara Lee.
1 Okt - Malam tadi Dell berpeluang bertemu dengan rakan baru ini yang ingin memiliki Beautifool. Rupa-rupanya, beliau tinggal tidak jauh dari kawasan perumahan Dell. Seronok berkongsi cerita sehingga tidak sedar berjam-jam kami lepak bersama. "Beautifool, mu tunggu aku datang!" 

Pos Beautifool.

10 Dis - Terharu apabila ada pembaca sanggup nak pos Antologi Beautifool ini ke Dell semata-mata hendakkan autograf setelah membelinya di kedai buku. Nak jumpa jauh sangat, di Kedah sana. "Akak terharu dik... Sob... Sob..."

Ini antara yang sempat Dell kongsikan di sini. Tak terkongsi kesemuanya. Apa-apa pun terima kasih atas sokongan semua. 

Sebelum terlupa, Antologi Beautifool dalam proses cetakan yang kedua. Tunggggguuuu.... :)


Pejabat Legacy Publisher

Apabila kami ada kesempatan, kami akan berkumpul bersama-sama. Kami akan berbincang pelbagai topik berkaitan dengan dunia penulisan dan penerbitan. Terasa seperti sebuah keluarga yang besar. Seronok berkongsi-kongsi maklumat memandangkan mereka semua datang dari latar belakang yang berbeza.

Apabila dapat idea, begitulah rupanya. ;)
Layanan yang mesra sebegini, memberikan semangat kepada kami untuk terus menulis dan menyiapkan manuskrip yang telah dibincangkan. Seandainya ada di antara kami mempunyai masalah-masalah tertentu, kemi berkongsi kisah dan cuba membantu antara satu sama lain mengikut kemampuan masing-masing.

Dell bersyukur dipertemukan dengan sahabat-sahabat wangi begini. Tidak kedekut ilmu malah sentiasa memberi semangat antara satu sama lain.

Dell mengucapkan terima kasih kepada Pn. Atie dan Tuan Zam dari Legacy Publisher kerana memberi peluang dan ruang kepada kami untuk terus berkarya. Dan terima kasih juga kepada mereka kerana merapatkan kami antara penulis di bawah satu bumbung ini. 

Semoga kami semua dipermudahkan oleh-Nya dalam menjadikan bidang penulisan ini sebagai salah satu kerjaya profesional. Amin.


#Imbas Kenangan 19-20 Ogos 2015.

Tiket online BAHTERA 2015.
Rezeki dapat tahu mengenai program ini melalui rakan usahawan di kampung Dell iaitu di Kluang, Johor. Ada beberapa rakan dari sana turun ke program ini pada hari tersebut. Inilah peluang untuk kami berkumpul sekejap sambil bertukar-tukar ilmu yang ada. Coach-coach yang datang pun bukan calang-calang orang.

Tag Nama yang ada Kod Bar.
Jauh Dell maraton pergi dan balik. Terbakar beribu kalori. Bagus juga. Maklumlah banyak ternak lemak sepanjang Syawal. Hihihi...


Hari pertama di Medan Selera KLCC
Selepas tamat program BAHTERA 2015 pada hari pertama, lewat petang barulah kami semua menjamah makanan.

Inilah di antara rakan-rakan yang selalu berkongsi ilmu mengenai perniagaan dengan Dell. Mereka semua pakar dalam bidang masing-masing.

Ada di antara mereka datang dari Kluang. Juga merupakan pelanggan setia Karipap Pusar Kluang mama Dell.

Siapa sangka niat asal Dell hanya untuk membantu mempromosi Karipap Pusar buatan mama beberapa bulan lepas, menemukan Dell dengan mereka ini.

Selama ini, kami hanya berhubung melalui whatsapp. Akhirnya, di program ini kami bertemu. Kecilkan dunia ini?

*terkejut juga kerana salah seorang daripada mereka ini berminat menulis dan terbitkan buku.



Hari kedua, di Medan Selera KLCC. Ahli makin bertambah.
Selepas tamat program bada hari kedua, kamu semua berkumpul semula sekali lagi untuk berkongsi maklumat. Maklumlah masing-masing masuk ke bilik seminar yang berbeza.

Walaupun kami semua baru sahaja berkenalan tetapi alhamdulillah, kami sekepala. Perkongsian kami semua tidak tamat hanya semalam tetapi berkekalan sehingga kini.

*Eh, pada hari kedua sudah ada tiga orang kenalan baru yang mengatakan hendak menulis buku.


Gambar di salah satu sesi.
Alhamdulillah... sehingga artikel ini ditulis, kami semua masih berhubung antara satu sama lain walaupun kami semua bukan tinggal di satu tempat. Malah ada di antara kami bertemu di seminar-seminar atau bengkel-bengkel di tempat lain. 

Ini antara kelas asas yang Dell sempat masuk ketika di BAHTERA 2015.

  1. USAHANITA: 5 perkara yang harus dilakukan dan 5 perkara yang wajib ditinggalkan untuk networking yang efektif.
  2. Media Online: Kuasai pemasaran online dengan teknik visual yang hebat. 
  3. PUIM - Cari Pelanggan Baru & Jadikan Mereka Membeli dan Membeli Lagi: Ini Strategi Online.
  4. Minda Trafik: Bahaya FB dan IG untuk perniagaan anda. 5 TIPS yang anda harus tahu. 
  5. Leap Leadership Academy Identifying Your Entrepreneurship Identity Using Colored Brain.
Ketika berada di sini, Dell dapat mengikuti kelas asas oleh Puan Shakirah Karim, Tuan Fazli Hisahak dan beberapa mentor lain. Ilmu yang dikongsikan di sini sangat bagus sehinggakan kami semua agak keliru nak masuk kelas yang mana satu kerana semua kelas jalan serentak. Dell tidak sempat untuk mengikut satu pun bahagian Talk Show kerana masuk ke dalam kelas sahaja.