Selamat Datang ke Blog Dell!

Bersama Dell di Alam Maya
Sertai Saya

Hari ini, Dell berpeluang berbual sebentar dengan salah seorang rakan rapat yang duduk jauh di Johor Bahru. Beliau berhijrah ke sana mengikut suami. Sudah ada seorang anaknya. Sedar tak sedar, masa berlalu sangat pantas. Anaknya pun sudah semakin besar.

Kami berdua masih bergelar siswazah selagi tidak konvo. Huhuhu. Kebetulan, nasib kami serupa pula pada bulan ini. Kami berdua bergelar guru. Dell mengajar di universiti swasta, beliau pula mengajar di sekolah swasta. Tidak sangka sebenarnya.

Beliau memberitahu, mungkin itu adalah rezeki anaknya kerana kebetulan beliau terbaca di akhbar ada sekolah swasta yang memerlukan seorang guru bahasa Melayu. Beliau terus mencuba nasib. Hari pertama datang temuduga terus mendapat jawapan beliau diterima. Sama seperti Dell! 

Beliau mengatakan bahawa gaji yang ditawarkan di situ sangat lumayan. Basic sahaja cecah RM3200. Tiada pengalaman tidak mengapa, pihak sekolah tersebut akan ajar. Sangat bertuah. Ada guru bahasa Melayu lain yang sudah berkhidmat 8 tahun, gajinya mencecah RM15K! Wow, sungguh tidak sangka!

Persepsi Dell sudah berubah. Ketika menjadi siswazah sepenuh masa inilah Dell mendapat banyak pengalaman yang tidak disangka-sangka. Jika tidak, dulu Dell hanya bergelombang dengan dunia pentadbiran semata-mata. 

Selepas Dell meletakkan jawatan dan menjadi penganggur yang bergaji, Dell banyak terdedah dengan bidang pendidikan. Tidak sampai sebulan Dell jadi penganggur, Dell menjadi guru 'home tuition'. Selepas itu, jadi guru di pusat tuisyen. Dan kini, mengajar bahasa juga di universiti swasta

Lama-lama, macam seronok pula. Mungkin sudah ditakdirkan perjalanan hidup Dell sebegitu. Tapi Dell masih lagi memperbaiki cara pengajaran Dell. Inipun, Dell sudah mula mengajar dengan mempraktikkan teknik nabi walaupun pelajar-pelajar Dell bukan berbangsa Melayu dan Islam. Memang menjadi. 

Insya-Allah, Dell akan berterusan perbaiki mutu pengajaran itu. Yang penting, ilmu yang hendak disampaikan itu mereka faham dan meletakkannya di dalam hati serta bermanfaat. Amin...
Bermula pada bulan Disember 2014 lagi, Dell sudah mula mencari kerja kosong. Merisik-risik daripada kenalan rapat jika ada. Yalah, tanpa disedari sudah dua tahun Dell menjadi pelajar sepenuh masa kerana mendapat biasiswa sambung pengajian. Biasiswa pun sudah hampir tamat, manakala pengajian agak lewat sedikit habis kerana terlari sedikit dari perancangan asal. 

Pada bulan Disember 2014 jugalah Dell sudah mula mengemas kini resume yang sudah lama terbiar. Fail pun tidak bersusun. Rezeki Dell mendapat panggilan temuduga di salah sebuah universiti swasta atas rekomen seorang kenalan. Dan alhamdulillah, Dell diberi peluang menjadi pensyarah sambilan mengajar subjek Bahasa Kebangsaan A

Bulan ini pula, Dell sudah mula mengisi borang SPA (Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia) dan SPP (Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran Malaysia) atas nasihat seorang kawan. Sudah lama Dell tidak menjengok laman-laman ini. Terasa lega setelah mengisinya. Bukan itu sahaja, Dell juga sudah mula mengemas kini Linkedin. 

Dell ada juga merisik-risik laman web setiap universiti dan kolej swasta. Tidak salah mencuba, kan? Sejak Dell bekerja di sektor swasta ini, Dell menjadi semakin berani untuk mencuba. Sebelum ini, Dell hanya fokus kerja di sektor awam sahaja. Dell juga sudah bersedia untuk berhijrah ke negeri lain sekiranya tempat itu tertulis rezeki Dell.

Cita-cita Dell sangat besar sebenarnya tetapi untuk bermula, Dell memerlukan satu tapak terlebih dahulu. Insya-Allah, jika diizinkan tuhan serta redha dan doa dari semua... mudah-mudahan ia tercapai. Amin...
Contoh cara Dell gambarkan keseluruhan topik yang berkenaan.
Setelah tiga minggu Dell mengajar Bahasa Kebangsaan A, Dell terasa yang sel-sel otak semakin aktif dan spontan. Almaklumlah sudah lama Dell tinggalkan profesion sebagai tutor mengajar subjek untuk pelajar peringkat universiti atau kolej. Kali terakhir Dell mengajar subjek-subjek MQA untuk salah sebuah institut swasta adalah pada tahun 2008. Selepas itu, Dell hanya mengajar home tuition ataupun di pusat tuisyen. 

Mengajar di sebuah universiti swasta yang agak kukuh ini memerlukan banyak persiapan. Dell perlu menyediakan Justifikasi Kursus, Nota, Teaching Manual, Soalan Kuiz, Ujian, Peperiksaan dan juga skema pemarkahan.

Bukan mudah untuk memberi pemahaman kepada pelajar yang agak lemah dalam subjek bahasa Melayu. Mereka hanya berbahasa Melayu dengan Dell sahaja. Dan Dell perlu menghabiskan pengajaran setiap satu bab dalam masa 6 jam sahaja seminggu. Kami berjumpa hanya 7 minggu sahaja. Sukatan pelajaran dan topik, Dell perlu mengikut apa yang telah ditetapkan oleh MQA. 

Alhamdulillah, Dell berjaya menguruskan masa pengajaran itu. Dell mengajar bukan sahaja menggunakan kaedah Peta Minda tetapi Dell juga menggunakan kemudahan internet untuk memudahkan mereka memahami sesuatu. Sama ada gambar, video, blog dan sebagainya. Malah, Dell turut menubuhkan satu grup facebook khas untuk mereka supaya kami semua mudah berkomunikasi selepas tamat waktu kelas. 

Buat masa ini, Dell baru sahaja selesai menyiapkan soalan untuk kuiz dan ujian. Tinggal soalan untuk peperiksaan yang perlu dihantar selewat-lewatnya pada minggu hadapan. 


Nota :
Sesungguhnya Allah itu Maha Besar. Pekerjaan yang diberikan kepada Dell ini membantu sel-sel otak Dell semakin pantas berfikir. Keadaan ini turut membantu Dell dalam menyiapkan penulisan tesis Dell. Benarlah, semuanya rahsia-Nya. 
Suasana pendaftaran.
Semalam Dell berkesempatan menghadiri Seminar Facebook Menjadi Buku. Tetapi bukan sebagai peserta seperti biasa. Dell menjadi salah seorang tim pengurusan yang membantu penganjur seminar tersebut. 

Seawal pukul 6.30 pagi, Dell sudah keluar dari rumah kerana perlu mengambil seorang lagi rakan sepasukan di Putrajaya. Kami bersetuju untuk sampai di Wisma Sejarah dalam pukul 8.00 pagi. Maklumlah, kami menjaga bahagian pendaftaran. Seminar pula akan bermula pada pukul 9.00 pagi.

Ketika singgah di Petronas untuk mengisi minyak, kami berdua membeli nasi lemak dan karipap sebagai sarapan kami di sana. Kebetulan pula, pagi itu Dell terasa sangat lapar walaupun di awal pagi. Terlepas nafsu mengidam Dell nak makan nasi lemak daun pisang yang sedap!

Nasi lemak ini sangat sedap!

Seperti yang dirancang, kami sampai di Wisma Sejarah beberapa minit sebelum pukul 8.00 pagi. Seramai 183 orang peserta yang telah mendaftar untuk menghadiri seminar ini. Dell cuba mengecam wajah setiap peserta yang datang. Maklumlah ada nama yang tersenarai tu, Dell hanya berpeluang memandang wajah melalui facebook sahaja.

Terima kasih kak Mazura Stapah kerana sudi mengambil gambar ini sebagai kenangan. Dell pun tak terfikir malah terlupa. Huhuhu... 

Jualan buku Rahsia 100 Impian dan buku Antologi Cerpen Muzikal.

Selesai berada di meja pendaftaran, dalam pukul 10.00 lebih Dell bawa masuk buku-buku Dell ke meja jualan untuk para alumni penulisan. Dell berkongsi meja dengan seorang lagi penulis buku Genius dari Syurga iaitu Puan Ainizal Abdul Latif. Pada mulanya, Dell agak segan juga. Maklumlah, ramai penulis senior yang hadir dan karya-karya mereka hebat-hebat belaka. Tetapi Dell teringat kata-kata Prof. Dr. Zainon Ismail di status facebooknya beberapa tahun yang lalu, "Buat apa nak malu jual buku sendiri?"

Buku-buku Dell.

Terima kasih sekali lagi kepada kak Mazura Stapah di atas gambar ini. Terima kasih Dell ucapkan kepada mereka yang sudi membeli buku-buku ini. Di sebelah Dell ini namanya Ardina, anak kepada penulis buku Genius dari Syurga. Si anak kecil inilah yang membantu ibunya dalam penjualan buku sementara ibunya mendengar seminar. 

Menulis kata-kata indah kepada si kecil ini.

Kehadiran si anak kecil ini membuatkan masa Dell terisi dengan kisahnya. Seronok mendengar si comel ini bercerita tentang pengalamannya menjaga adik yang merupakan seorang autistik. Berusia 10 tahun tetapi petah berkata-kata, ayatnya tersusun, penggunaan intonasi suara yang sesuai malah turut menggunakan ekspresi wajah yang berbeza untuk setiap babak cerita. Cerdik si comel ini. 

Secara tidak langsung, Dell mendapat ilmu pengetahuan yang lebih mengenai kanak-kanak autistik melalui si kecil itu. Dell kagum dengan kesabarannya melayan kerenah kanak-kanak autistik pada usia yang sangat muda. Dari segi percakapannya, sememangnya pemikiran dia jauh lebih matang dari usia. Dia juga kerap mengulang kata-kata nasihat daripada ibunya dalam menangani karenah adiknya yang istimewa itu.

Kenang-kenangan bersama-sama si kecil yang petah berkata-kata.

Dell ada bertanya, jika si anak kecil ini mempunyai facebook ataupun blog. Dia mengatakan belum bersedia untuk semua itu. Dia terasa ia menyesakkan kepala. Mungkin apabila umurnya belasan tahun, baru dia nak ada facebook. Dell memberitahu kepadanya, "Adik boleh menulis kisah pengalaman adik itu di dalam blog. Pengalaman yang ada ilmu pengetahuan dan kesedaran. Ramai orang hendak tahu. Mana tahu, suatu hari nanti adik pula ada buku sendiri."  Dia hanya tersenyum sahaja.

Buku bertukar tangan. Bersama-sama Puan Ainizal Abdul Latif.

Kepetahannya itu membuatkan Dell menghadiahkan sebuah buku Antologi Cerpen Muzikal (Cermuz) kepadanya sebagai tanda kenang-kenangan. Sengaja Dell meletakkan alamat blog Dell di situ kerana Dell mengharapkan dia akan menyapa Dell suatu hari nanti. Kebetulan, dia memang minat membaca novel. Mujur rakan setugas Dell, Izham sudi menangkap beberapa gambar Dell bersama-sama mereka sebagai kenang-kenangan. 

Kata-kata motivasi daripada penulis.

Ibunya ternampak Dell memberi buku Antologi Cermuz itu kepadanya. Lalu, ibunya turut menghadiahkan buku tulisannya itu kepada Dell. Alhamdulillah, rezeki dari Allah.

Mobile Bookcafe.

Sebelum pulang, Dell sempat bergambar di tepi Mobile Bookcafe ini. Sangat teruja! Sudah lama Dell menanti peluang untuk bergambar disisinya. Dell selalu berangan-angan, suatu hari nanti buku-buku Dell akan berada di dalam Mobile Bookcafe ini dan menjelajah ke seluruh pelosok negeri. Insya-Allah.

Dell bersyukur kerana diberi peluang membantu Tuan Zamri Mohamad di dalam seminar ini. Ia merupakan sebuah rahmat buat Dell. Dapat ilmu baru, pengalaman baru serta kenalan baru. Terima kasih jua saya ucapkan.
Tentu ada pembaca yang masih ingat di artikel Mengajar bahasa kebangsaan A, Dell ingin menceritakan pengalaman Dell melayan karenah para pelajar sepanjang mengajar subjek ini. Malah, Dell ada berkongsi sedikit petikan dialog perbualan Dell dengan mereka di facebook. Tidak disangka, penceritaan yang ringkas itu dapat menarik perhatian editor salah sebuah syarikat penerbitan buku yang terbaca di status Dell.

Pengalaman hari pertama mengajar di salah sebuah universiti swasta di ibu kota, Kuala Lumpur.
Bermula dengan status pertama pengalaman Dell pada 6 Januari 2015 sehingga ke hari ini berjaya menarik perhatian rakan-rakan facebook. Ada yang mesej Dell untuk mengetahui Dell mengajar di mana.

Editor yang berminat dengan kisah ini.

Asalnya Dell hanya menjadikan kisah ini sebagai diari agar peristiwa ini tidak luput diingatan. Kini kisah itu dilamar untuk dijadikan sebuah cerpen yang ringkas untuk sebuah projek penerbitan. Dell berminat dengan tawaran tersebut. Insya-Allah Dell akan cuba luangkan masa untuk menulis cerpen tersebut. :)
Alhamdulillah... Pada hari Selasa (6 Januari 2015), Dell telah diberi amanah mengajar subjek Bahasa Kebangsaan A kepada pelajar di salah sebuah universiti swasta di Kuala Lumpur. Untuk permulaan, Dell hanya mengajar 6 jam seminggu (2 hari seminggu). 

Dell hanya menjadi pensyarah sambilan di sini. Kawan yang rekomen dan Dell berjaya di dalam temuduga yang dijalankan.

Subjek Bahasa Kebangsaan ini merupakan subjek wajib bagi mereka yang ingin mendapatkan sijil Foundation, Diploma atau Ijazah di institut swasta. Mesti kena lulus!

Dell bertuah kerana pada tahun 2014, Dell sudah didedahkan ilmu metafizik dan pelbagai ilmu coaching yang dapat memudahkan Dell dalam menyampaikan ilmu dengan cara yang paling ringkas tetapi mudah difahami.

Pada hari pertama Dell berada di situ, pelbagai babak mencuit hati telah berlaku. Biasalah karenah dan ragam pelajar yang pelbagai. Nanti Dell cerita secara berperingkat di bawah label yang sama supaya mudah untuk mencari kisah mereka secara bersiri.

Kesemua pelajar Dell pada kali ini adalah berbangsa Cina. Dulu ketika SPM, mereka bersekolah di Sekolah Antarabangsa atau di Home School. Mereka agak lemah dalam subjek Bahasa Melayu di peringkat SPM. 

Oleh itu, bukan mudah untuk Dell memberi kefahaman kepada mereka. Banyak pendekatan yang perlu Dell lakukan untuk membantu mereka.

Syukur, pada hari kedua mereka memahami sepenuhnya Bab 1 iaitu Sejarah Bahasa dan Bangsa Melayu. Respon daripada mereka juga sangat memberangsangkan. Banyak berlaku komunikasi dan maklum balas. Target Dell tercapai. :)

Petikan cerpen muzikal (cermuz) Indah Lelapku.

Alhamdulillah, akhirnya Cerpen Muzikal (Cermuz) Dell bertajuk Indah Lelapku telah ditukar menjadi E- Cermuz. Peluang yang diberi oleh alumni dalam projek ini sangat-sangat Dell hargai. 

Sekurang-kurangnya, karya cermuz ini boleh diperolehi secara alam maya dengan lebih mudah dan boleh dibaca di mana-mana asalkan membawa gajet tersebut.

Walaupun masa Dell tidak mengizinkan tetapi Dell curi-curi masa untuk perbaiki cermuz ini supaya jalan ceritanya bertambah baik. 

Pembelian e-cermuz ini sangat mudah. Hanya dengan potong prepaid di dalam telefon bimbit, sudah boleh muat turun e-cermuz tersebut. Harganya pun sangat murah. Hanya RM3 sahaja. 

Dell menunggu kaver untuk E- Cermuz ini siap. Tak sabar Dell ingin melihat seni grafiknya nanti. 


Nota :
Dell teringat Buku Antologi Cermuz ini baru sahaja dilancarkan pada 21 Jun 2014 yang lalu di Konvensyen Penulisan 2014.

Syukur di atas nikmat yang Tuhan beri. Tercapai cita-cita Dell ingin melihat karya cermuz ini menjadi e-cermuz. :)



Sedar tidak sedar, kita sudah melangkah ke tahun baru beberapa hari yang lalu. Tahun 2015... tahun yang dikatakan mencabar bagi sesetengah para ilmuan metafizik. 

Lama juga ya blog Kak Dell ini bersawang. Sehinggakan ada yang sudah bertanya, "Ke mana menghilangnya Kak Dell? Sudah lama tidak nampak penulisan Kak Dell di blog?"

Tidak sangka, Dell juga terkena penyakit terlupa untuk menulis di blog kerana kesibukan menguruskan pelbagai hal di luar. 

Sungguhpun Dell tidak kelihatan di blog dan jarang juga di facebook, Dell tetap tidak meninggalkan penulisan. Ada beberapa karya yang Dell sudah draf supaya idea tersebut tidak hilang. Maklumlah, ilham yang dianugerahkan Ilahi sentiasa datang tidak tentu masa dan akan hilang begitu sahaja jika tidak dicatat. 

Apa kesibukan yang menyebabkan Dell tidak aktif di blog dan kurang aktif di facebook?

Buat masa ini, Dell sedang sibuk membuat persiapan untuk CE untuk tesis. Kebetulan pula, Dell baru dilantik menjadi pensyarah sambilan di salah sebuah universiti swasta untuk subjek Bahasa Kebangsaan A (semester akan datang). Jadi, Dell sedang menyiapkan modul untuk mengajar.

Dalam masa yang sama, Dell sedang mengemas kini penulisan cerpen muzikal untuk dijadikan e-book. Masih belum siap sepenuhnya. Masa sangat-sangat mencemburui.

Janganlah kesibukan ini menyebabkan para kenalan takut untuk bertegur sapa dengan Dell. Dell akan mencari peluang untuk membalas segala emel dan mesej daripada sesiapa sahaja. Hal-hal berkaitan dengan kebajikan juga Dell turut jaga. Jadi, jangan segan-segan ya!

Berjumpa di lain lembaran. Salam Maulidur Rasul. :)